MERIAH SUNGGUH SABTU LEPAS SAMPAI 4 BUAH BAS ROMBONGAN DATANG KE KAMPUNG KITA
Suasana hari Sabtu lepas betul-betul meriah. Seawal pagi lagi, suasana Perkampungan Al-Hijrah sudah mula hidup dengan ketibaan para jemaah. Ada yang datang terus pagi Sabtu, malah ada juga rombongan yang sudah selamat bermalam di homestay sejak hari Jumaat lagi. ![]()





Antara rombongan yang hadir dari jauh dan dekat ada yang dari:-
Program Anak-Anak Mengaji Surau KMWU, Batu Muda, KL diketuai oleh En Mohd Fared.
Seramai 40 orang yang hadir seawal jam 8.30 pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid Sendayan.
Rombongan Majlis Ilmu Sik, Baling, Sg Petani, Kedah yang diketuai oleh En Nasaruddin Wahab.
Seramai 44 orang jemaah yang gigih datang jauh dari utara, bermalam dari hari Jumaat sehinggalah Sabtu selepas selesai pusing-pusing Putrajaya.
Group Wanita Muslimat Surau Al Hijrah yang diketuai oleh Pn Shamsiah Amran bersama 44 peserta muslimat yang bersemangat menyertai majlis ilmu.
Jemaah dari Masjid UPM yang diketuai oleh Pn Rasimah M Ali. Seramai 15 orang peserta dewasa yang turut memilih untuk menginap di homestay Kampung Kita.
Rezeki para jemaah apabila Ustazah Asma Harun buat kejutan menyambut, bersalaman, menyantuni dan bermesra dengan setiap rombongan yang hadir di Perkampungan Al-Hijrah. Hilang terus penat lelah perjalanan jauh para jemaah apabila dapat bertatap muka dan disantuni.
Oh ya mari min kongsikan mutiara berharga dari Kitab Bingkisan Mutiara yang disampaikan oleh Ustaz Rahmat untuk kita sama-sama amalkan:-
Memahami perbezaan amalan puasa Asyura & Tasu’a oleh umat Islam dengan kaum Yahudi.
Tingginya kedudukan ilmu dan darjat para ulama’ di sisi agama Allah.
Kisah seorang Abid yang terpedaya dengan hasutan nafsu di usia tua, berbanding ahli maksiat yang mendapat hidayah di hujung usia. Ingat, urusan hati adalah rahsia Allah. Berubahlah sekarang tanpa menunggu hari tua
Kisah hamba Allah yang terselamat dari neraka hanya kerana sehelai bulu mata yang pernah basah menangis bertaubat. Jangan pernah memperlekehkan amalan sekecil zarah, dan sentiasalah berdoa “Ya muqallibal quluub…”
Ganjaran besar Ashabul Yamin (golongan kanan) di hari kiamat yang menerima pahala amalan besar (haji, sedekah) hanya disebabkan niat yang ikhlas sewaktu di dunia, bersesuaian dengan hadis Nabi saw: “Niyyatul mu’min khairun min amalihi”.
Antara Panduan Menuntut Ilmu:
Menghilangkan kejahilan diri: Wajib belajar ilmu fardhu ain (Aqidah, Fiqh, Tasawwuf) menerusi kitab-kitab turath seperti Sifat 20, Safinatunnajah, dan Penawar Bagi Hati bersama guru
Beramal dengan ilmu
Ilmu mesti diamalkan melalui iktiqad yang betul. Contohnya dalam solat, bacaan Al-Fatihah mestilah betul makhraj dan wajib menjaga huruf yang bertasydid.
Semua ilmu ini mesti disahkan oleh seorang guru. Jika tersalah baca dalam solat ketika masih dalam proses belajar, ia dimaafkan. Namun, jika tidak mahu belajar langsung (hanya bersandarkan ilmu KAFA yang lama), hukumnya adalah berdosa. Contohnya huruf Dhod (ض) — sebutannya jangan sampai memuncungkan bibir.
Sesiapa yang mengaji dalam keadaan merangkak-rangkak (merangkak) akan mendapat dua pahala.
Menjauhkan Diri Daripada Orang yang Tidak Baik.
Jangan menuntut ilmu dengan tujuan untuk meraih pandangan manusia, mengejar gelaran, atau untuk berkhidmat dengan raja.
Mengharapkan Redha Allah SWT.
Setiap orang ada masa silam yang gelap (dark side). Tidak perlu menceritakan aib lampau itu kepada orang lain. Cukup sekadar berhijrah ke arah yang lebih baik.
Adab Terhadap Ilmu & Guru rujukan Kitab Ta’lim al-Muta’allim:-
Adab Kitab: Jangan letak kitab separas kaki, peluk rapat di dada, susun Al-Quran/Hadis paling atas di almari, dan jangan letak pen atau menconteng teks kitab secara sembrono.
Adab Guru: Hormati guru dan keturunannya, jangan lalu atau potong laluan di hadapan mereka, khidmat bersihkan tempat duduk guru, diam sebelum guru bercakap, jangan main telefon bimbit serta jangan bertanya ketika guru sedang penat.
Rujuk pautan live: https://fb.watch/HUuogtM-ho/?mibextid=wwXIfr
Alhamdulillah, sebahagian anak-anak dan jemaah juga sempat menyertai Klinik Al-Fatihah secara percuma untuk semakan bacaan Ummul Kitab yang dibimbing oleh para guru.
Terima kasih kepada semua rombongan yang sudi hadir meramaikan Perkampungan Al-Hijrah. Semoga ukhuwah yang terbina ini berpanjangan dan ilmu yang diperoleh membawa kita semua menuju redha Ilahi.
Amin Ya Rabbal ‘Alamiin.![]()
